Penyebaran Footage Video Tragedi Penerbangan Malaysian Airlines MH370 Mengandungi Virus
KUALA LUMPUR, 28 Jun 2017 - Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (Cyber Defence Operation Centre - CDOC) memberi amaran kepada semua pengguna komputer dan Internet supaya berhati-hati dengan footage video tragedi MH370 yang disebarkan secara tular di media sosial. Footage video tersebut disebarkan oleh penggodam disyaki mempunyai ancaman virus, kod hasad (malicious code) dan pautan yang tidak sah. Penggodam dilaporkan telah menghantar mesej secara rawak berserta pautan yang dikatakan sebagai video mengenai kehilangan penerbangan Malaysia Airlines (MH370). Pautan yang disertakan akan membawa pengguna ke laman web yang tidak sah. Sekiranya pengguna mengklik pautan berkenaan, ia akan menyebabkan komputer pengguna dikompromi dan membenarkan pengodam mengakses serta mengawal komputer secara jarak jauh. Semua pengguna komputer dan Internet diingatkan bahawa penggodam akan sentiasa menggunakan berita dan peristiwa yang menjadi tajuk utama bagi menarik perhatian mangsa. Pelbagai medium akan digunakan bagi menyebarkan berita-berita palsu dan ancaman virus. Antara medium yang kerap digunakan adalah melalui e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS), Whatsapp, Telegram dan media social seperti Facebook dan Twitter. Oleh itu, semua pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam membuka dan menerima sebarang mesej dari pengguna yang tidak dikenali atau mesej yang mencurigakan. Pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan sumber berita yang sahih dalam mendapatkan berita-berita semasa. Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media telah menyediakan platform untuk pengguna Internet menyemak kesahihan berita atau mesej yang diterima melalui portal sebenarnya.my.
Jun 30, 2017