CDOC ATM operasi sepenuhnya September ini
KUALA LUMPUR 17 Jan. - Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan beroperasi sepenuhnya September ini bagi memantau secara rapi sebarang aktiviti berbentuk ancaman siber yang berpotensi mengancam rangkaian pertahanan negara. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, CDOC ATM yang kini dalam peringkat percubaan merupakan cetusan idea beliau dan barisan kepemimpinan tertinggi kementerian tersebut sejak empat tahun lalu di bawah Teras Keselamatan. Katanya, operasi, mandat dan bidang kuasa CDOC akan dikendalikan oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dengan memberi tumpuan terhadap mengaudit keselamatan siber, pengukuhan sistem pertahanan siber terhadap sistem infra dan mempertingkatkan keupayaan kepakaran forensik digital. “Kerajaan mengakui pacuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membawa pelbagai manfaat namun kemudahan tersebut telah menyebabkan ancaman terhadap risikan serta niat jahat hingga berlakunya serangan siber yang mengancam negara. “Kini, organisasi sistem Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) menjadi sasaran para penjenayah siber untuk mengganggu-gugat keselamatan seterusnya melumpuhkan pentadbiran negara. Ia merupakan sesuatu yang serius dan langkah sepatutnya perlu dilakukan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Siber Kementerian Pertahanan dan ATM di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini. Sumber: UTUSAN ONLINE
February 06, 2017